Quantcast
Channel: Catatan Pak Mail
Viewing all 191 articles
Browse latest View live

Antara Manifesto Bukan Suatu Janji dan Janji Yang Ditepati Setelah Lebih 50 Tahun

$
0
0

Berikut adalah secebis petikan dari tulisan Allahyarham Pak Hamka yang diambil dari Tafsir Al Azhar Surah Al Baqarah, ayat 177 m/s 79/80 Jilid 1, untuk kita renungi bersama.

“.......... dan orang-orang yang memenuhi akan janji mereka apabila mereka telah berjanji.......”

Janji kita ada dua macam. Pertama janji dengan Tuhan. Kedua janji dengan manusia. Kehidupan ini seluruhnya diikat dengan janji. Mengakui sebagai hamba dari Allah, ertinya akan menepati janji dengan Allah. Naik saksi bahawa Muhammad saw adalah Utusan Allah, ertinya ialah janji bahawa awak akan mematuhi segala perintah dan larangan Rasul.

Kedua ialah janji dengan sesama manusia. Seluruh hidup kita ini adalah ikatan janji belaka. Mendirikan suatu negara adalah suatu janji bersama hendak hidup dengan rukun, kepentingan diriku terhenti bilamana telah bergabung dengan kepentingan kita bersama; itulah negara. Perang dan damai di antara negara dengan negara adalah ikatan janji. Bahkan akad-nikah seorang ayah ketika menyerahkan anak perempuannya kepada seorang laki-laki untuk menjadi isteri orang itu, dinamai ijab, lalu, disambut dan diterima oleh si laki-laki di hadapan dua saksi, yang dinamai qabul, adalah janji. Seorang Khalifah atau Amirul Mukminin, gelaran tertinggi di dalam Daulah Islamiyah, ketika akan naik ke atas singgahsana kekuasaan, lebih dahulu berjanji dengan rakyat yang mengangkatnya; iaitu yang dinamai bai’at. Orang banyak memegang tangan Khalifah lalu mengucapkan janji bahawa mereka akan taat setia kepada beliau selama beliau masih menegakkan kebenaran dan keadilan yang digariskan Allah dan Rasul. Dan diapun berjanji akan menjalankan itu dengan segenap tenaga yang ada padanya. Maka kalau yang mengangkat mungkin, Khalifah berhak menuntut pertanggungjawab mereka. Tetapi kalau Khalifah sendiri yang tidak setia memegang janji, Tuhan membuka kesempatan kepada yang mengangkat itu buat mema’zulkannya, menurut sabda Nabi saw;

“ Tidak ada ketaatan terhadap seorang makhlukpun pada sikap mendurhakai Khaliq”.

Menilik hal ini dapatlah diambil kesimpulan bahawasanya Allah telah menganugerahkan Hak-Hak Asasi kepada manusia, dengan memberikan akal kepadanya, untuk menjadi Khalifah Allah di muka bumi, lalu manusia memilih suatu pemerintahan yang mereka sukai, lalu mereka serahkan kekuasaan yang dianugerahkan Tuhan itu kepada salah seorang yang mereka percayai bisa memikul amanat yang mereka berikan. Dengan syarat bahawa orang itu akan tetap setia kepada Undang-Undang Dasar Yang Maha Suci, iaitu Allah dan Rasul. Setelah orang itu menyerahkan kesediaannya, dia pun dibai’at.

Lantaran itu nyatalah bahawa teori kenegaraan yang dinamai oleh Jean Jeaques Rousseau (1712 –1778). “Contract Sosial”, oleh pengikut Nabi Muhammad saw telah dipraktikkan pada tahun 632M (11Hijrah), dengan pengangkatan Khalifah Rasulullah saw yang pertama, Saiyidina Abu Bakar as-Shiddiq. Iaitu 1080 tahun sebelum Rousseau lahir.

Maka seluruh kehidupan manusia di dunia ini adalah mata rantai belaka daripada ikatan janji. Baik janji ke atas, iaitu kepada Tuhan, ataupun janji ke bawah kepada sesama makhluk. Maka orang yang mengakui beriman, belumlah dia mencapai kebajikan, meskipun dia telah shalat, telah dermawan, telah mengeluarkan zakat, kalau dia tidak teguh memegang janji.

Ada orang yang teguh memegang janjinya dengan manusia, tetapi rapuh janjinya dengan Tuhan. Seumpama satu perkumpulan agama yang sedang bermesyuarat mengatur siasat perjuangan Islam. Amat asyiknya bermesyuarat, leka dan lalai dia shalat asar. Ada pula orang yang teguh janjinya dengan Tuhan, shalat di awal waktu, tetapi anaknya tidak diberikan pendidikan yang baik, atau isterinya tidak diberikan nafkah.

Oleh sebab itu mungkir janji dengan manusiapun bererti memungkiri janji dengan Allah.

Pernah terdengar berita di satu negara, pemimpin tertinggi negara itu dituduh melanggar undang-undang dasar negaranya. Lalu dia menjawab bahawa dia hanya bertanggungjawab kepada Tuhan sahaja, memang!. Orang bertanggung jawab dengan Tuhan sahaja, tetapi Tuhan pula yang memerintahkan dengan ayat yang tengah kita kaji ini, supaya dia mempertanggungjawabkan pelanggarannya itu kepada sesama manusia yang telah mengikat janji dengannya. Maka janji dengan sesama manusia pada hakikatnya adalah janji dengan Allah jua, selama tidak menghalalkan yang haram atau mengharamkan yang halal.

Jejak Sahabat TLDM - 10

$
0
0

Lewat tahun 1960an dan awal 1970an seorang pelakon muda bernama Bob Mustafa menjadi bualan peminat-peminat filem tanah air ketika itu. Beliau telah berlakon di dalam beberapa buah filem termasuk sebuah filem Putus Sudah Kasih Sayang yang dibintangi bersama Allayarham Tan Sri P.Ramlee yang juga berperanan sebagai pengarah filem tersebut.

Ekoran ‘kegilaaan’ dan minat mereka ke atas pelakon ini ramai mereka yang memiliki nama Mustafa telah diberi gelaran dengan panggilan ‘Bob’. Tidak terkecuali dua orang sahabat lama saya yang bernama Mustafa.

& & & & & & & & & & & & & & & & & & & & & & & & & & & & & & & & & & & &

Pada siri-siri Jejak Sahabat TLDM yang lalu hampir kesemua sahabat-sahabat lama, saya menjejaki. Namun pada kali ini saya pula dijejaki oleh sahabat lama yang sepengambilan rekrut TLDM 129/77.

Sewaktu saya sedang asyik melayari internet telefon bimbit saya berbunyi.

‘Assalamualaikom’, saya menjawab panggilan tersebut.

‘Waalaikomsalam, Mail kau ada di mana’, pemanggil tersebut bertanya.

‘Siapa ni’.

‘Aku Mus, Bob’ lah....

‘Aku di rumah’

‘Mail, aku di Setapak dengan kawan. Rumah kau di mana’.

‘Rumah aku di Greenwood. Lama ke kau ada di KL’, aku bertanya.

‘Sampai petang. Orang rumah dan anak aku ke Jalan TAR. Berbelanja’.

‘Ok, kalau begitu kau tunggu aku di Ong Tai Kim, Jalan Gombak. Setengah jam lagi in syaa Allah aku sampai’.

Di dalam perjalanan saya menyangkakan bahawa sahabat yang menghubungi saya tadi ialah Ayahanda Dato’ Mustafa yang memang saya ketahui dipanggil juga dengan nama ‘nickname’ Bob.

Setelah saya hampir tiba di pasaraya Ong Tai Kim, saya menghubungi saudara Mustafa untuk bertanyakan dimana beliau berada. Beliau memberitahu beliau berada di Restoran Mamak ‘Haji Tapa’. Saya pun terus menuju ke Restoran tersebut mencari beliau. Saya berdiri di hadapan restoran tersebut beberapa ketika sambil mata berkeliaran mencari seseorang. Oleh kerana fikiran saya tertumpu kepada wajah sahabat saya Ayahanda Dato’ Mustafa maka saya tidak hiraukan wajah-wajah manusia lain di hadapan saya. Lantas oleh kerana orang yang saya cari tidak kelihatan saya keluar sebentar untuk cuba mencari di restoran mamak lain sederetan dengan Restoran Haji Tapa. Namun tiada juga.

Lalu saya kembali semula ke Restoran Haji Tapa untuk cuba mencari sekali lagi. Kali ini saya masuk ke dalam restoran tersebut dan kebetulan saya terpandang seseorang yang saya pernah melihat wajahnya di dalam ‘facebook’ baru-baru ini. Maka baru saya ketahui bahawa sahabat saya ini yang bernama Mustafa dipanggil juga sebagai ‘Bob’.

‘Aku nampak kau tadi di depan. Tapi tak berani nak tegur takut tersalah orang. Sebab bermisai dan berjanggut’, sahut Mustafa. Saya hanya tersengih sahaja.

Memang benar pastinya kami telah tidak menemui lebih dari dua puluh tahun. Atau mungkin tiga puluh tahun. Sebelum ini lebih kurang sebulan yang lalu kami pernah dihubungkan dan berbual seketika menerusi telefon bimbit Ibrahim Ali. Sewaktu di dalam perkhidmatan TLDM kami berkawan baik walaupun tidak sering bertemu kerana bertugas di lain-lain tempat.

Kebetulan rakan Mustafa yang membawa beliau ke Gombak mempunyai urusan lain. Oleh itu saya mencadangkan agar kita berdua mencari sahabat-sahabat lain di persekitaran Kuala Lumpur. Rakan pertama yang terlintas di fikiran saya ialah saudara Ariffin seorang tukang masak di dalam TLDM tetapi berjaya di dalam perniagaan katering di Lembah Kelang.

Dipendekkan cerita kami bertemu dan dibawa ke rumah beliau di Kampung Pasir, Hulu Kelang. Kami berbual selama hampir satu jam setengah. Di akhir pertemuan saudara Ariffin sempat meluahkan rasa tidak puas kerana hanya sempat berbual yang dirasakan satu jam setengah itu begitu singkat. Ini kerana beliau terpaksa ke lokasi tempat di mana beliau sedang menguruskan katering majlis perkahwinan di Taman Melati.

Saudara Mustafa (berbaju biru) bersama saudara Ariffin.
Justeru, lokasi seterusnya ialah ke Shah Alam untuk menemui saudara Aziz dan saudara Hassan. Sebelum ke Shah Alam kami singgah sebentar pulang ke rumah saya untuk solat Dhuhur.

Saya telah menemui saudara Aziz sebanyak dua kali sebelum ini. Pertama kali di majlis perkahwinan anak saudara Ariffin dan kali kedua di majlis perkahwinan anak saudara Kamarulzaman di Kampung Ibol, Kuala Pilah. Manakala saudara Hassan pula saya tidak pernah menemui beliau seperti juga saya tidak pernah menemui saudara Mustafa sebelum ini. Malah saya tidak dapat bayangkan wajah saudara Hassan kerana langsung tidak dapat mengingati siapa sebenarnya Hassan. Apa yang saya difahamkan oleh saudara Mustafa beliau juga adalah rakan sepengambilan di dalam TLDM.

Kurang lebih jam 4.15 petang kami bertemu di Kompleks PKNS, Shah Alam. Saudara Aziz yang tinggal di Seksyen 17 awal lagi telah menunggu kami. Manakala saudara Hassan yang tinggal di Seksyen 32, Shah Alam berhampiran Bukit Naga muncul beberapa minit kemudian.

Setelah melihat Hassan baru saya dapat mengimbau kembali akan diri beliau. Saudara Hassan tidak banyak bercakap orangnya. Itu yang dapat saya andaikan. Mungkin kerana beliau berlainan cawangan. Namun walaupun saudara Mustafa berlainan cawangan tetapi beliau peramah orangnya. Maka itu beliau agak rapat dengan saya.

Apa pun setelah kami bertemu perbualan kami berempat agak rancak. Sambil makan dan berbual-bual sempat juga bergurau kata. Dan seperti biasa oleh kerana lama tidak bertemu kami saling bertanyakan antara satu sama lain tentang hal-hal semasa berkaitan keluarga, profession serta juga persoalan kesihatan.

Dari kiri: saudara Mustafa, saudara Aziz dan saudara Hassan.
Masih kacak dan bergaya.
Jam 5.30 petang. Anak dan isteri saudara Mustafa telah selesai dengan urusan mereka membeli barang-barang keperluan untuk majlis perkahwinan anak mereka yang dijadualkan pada bulan Ogos hadapan. Telah tiba masanya kami berempat mengucapkan salam perpisahan buat sementara waktu. Saya memandu pulang ke Kuala Lumpur untuk menghantar saudara Mustafa ke Vistana Hotel di mana beliau dan keluarga menginap satu malam kelmarin. Tiba di hotel salam perpisahan diucapkan sehingga in syaa Allah bertemu lagi nanti pada bulan Ogos di majlis perkahwinan anak beliau di Manjung, Perak.

Article 0

$
0
0
Saya tidak punyai komen untuk dicatatkan terhadap video ini. Namun sebagai seorang yang beragama Islam, saya merasakan terpanggil untuk berkongsi video ini dengan pembaca sekalian. Terserah kepada tuan-tuan sekalian untuk mempercayainya atau pun tidak.


Ikhlaskah Perjuangan Mereka

$
0
0
Beberapa hari lagi rakyat Malaysia yang layak serta bertanggung jawab akan keluar untuk membuang undi mereka bagi memilih siapa pilihan mereka untuk menerajui dan mentadbir negara bagi tempoh satu penggal selama lima tahun mulai dari tarikh pengumuman keputusan PRU13 nanti.

Kita telah melihat beberapa senario sebelum dan selepas pengumuman pembubaran parlimen dan kemudian disusuli dengan pengumuman tarikh pilihanraya serta tarikh penamaan calon-calon yang akan bertanding.

Justeru beberapa hari kemudian kedua-dua parti dari pemerintah dan pembangkang memuktamadkan siapakah calon-calon yang akan bertanding. Dalam menentukan siapakah calon-calon yang sesuai inilah yang saya kira amat sukar bagi ketua kedua-dua belah pihak hadapi. Kerana pasti mereka yang layak dan dianggap calon 'winnable' tiba-tiba tidak terpilih dan akan merasa kecewa.

Kita juga telah melihat ekoran dari kekecewaan kerana tidak terpilih ada diantara mereka telah memilih jalan keluar masing-masing. Ada yang merajuk membawa diri. Ada juga yang merajuk dan mungkin berniat akan melakukan sabotaj terhadap parti mereka. Dan ada juga yang mengumumkan untuk bertanding sebagai calon bebas dengan alasan-alasan mereka tersendiri.

Dan satu perkara yang sering dilakukan oleh orang-orang seperti ini apabila kecewa ialah bertukar parti ke pihak lawan. Justeru di sinilah timbul kesangsian akan keikhlasan mereka dari kalangan rakyat tentang perjuangan yang mereka laung-laungkan kononnya untuk memperjuangkan kepentingan dan hak rakyat.

Dari platform baru bersama 'kawan-kawan' baru mereka membuka segala pekung di dada 'kawan-kawan' lama. Dicanangkan kepada pengetahuan umum segala keburukan yang dilakukan bersama sewaktu di dalam 'kem' lama. Tanpa disedari mereka juga telah membuka pekung di dada sendiri dengan menampakkan segala macam kekotoran dan 'bau' busuk mereka selama berkhidmat bersama kawan-kawan lama.

Ironinya, 'kawan-kawan' baru mereka yang selama ini mengetahui akan 'busuk'nya perangai dan sikap rakan yang baru menyertai mereka turut bergembira dan meraikan kedatangannya. Mereka disambut dan diraikan seperti menatang minyak yang penuh. Lalu menceritakan aib-aib lawan yang dahulunya kawan ke merata-rata pelusuk kampung dan desa tanpa merasai bersalah terhadap diri sendiri.

Ada juga senario lain dimana seseorang meninggalkan partinya apabila melihat parti yang selama ini disanjungi dan dinaunginya mulai goyang dan tidak kukuh lagi, lalu menyertai parti lawan.

Dahulu lawan kini menjadi kawan. Dahulu membenci kini menyanjungi. Orang-orang seperti inilah keihklasan perjuangannya amat diragui dan disangsi. Perjuangan yang tiada nilai. Tidak seperti perjuangan orang-orang dahulu yang sanggup bergolok dan bergadai demi memperjuangkan kemerdekaan dan kehormatan bangsa dan negara.

Beginilah halnya politik tanah air kita. Politik yang amat tidak matang. Jarang sekali saya mendengar amalan politik sebegini berlaku di negara-negara luar iaitu amalan 'lompat ke seberang'.

Apa pun harapan saya semuga pilihanraya kali ini akan berjalan dengan lancar tanpa sebarang insiden-insiden yang tidak diingini berlaku.

Timbalan Pengerusi DAP Tenggaroh Keluar Parti

$
0
0
Baru sahaja pagi tadi saya tuliskan sedikit mengenai keluar parti A masuk parti B kerana kecewa. Rupanya tanpa saya sedari ada berita terkini seorang ahli parti DAP berbangsa Melayu kerana tidak terpilih menjadi calon untuk bertanding di dalam PRU13 telah mengisytihar keluar parti lalu sertai pula parti baru.



Berani Kerana Benar

$
0
0

Sejak video ini keluar di Youtube semalam telah lebih seratus ribu paparan ini dibuka.


Barangkali kerana keberanian Saiful Bukhari bersumpah laknat di hadapan Kaabah yang menyebabkan ayahnya menarik balik permohonan maafnya kepada Anwar Ibrahim pada 8hb Mac lalu yang menuduhnya melakukan kerja tidak bermoral itu ke atas anaknya Saiful Bukhari.

Siapa berani bersumpah di rumah Allah pinta diazab sekiranya dirinya berdusta. Dari sudut akal fikiran yang waras pastinya kita yang melihat akan meyakini bahawa seseorang itu bercakap benar dan tidak berdusta atas dakwaannya.

Oleh yang demikian beranikah kiranya Anwar Ibrahim bersumpah di rumah Allah untuk menafikan dakwaan Saiful Bukhari.

Allahu'alam

Tentera Bergajah dan Tentera Al-Ahzaab

$
0
0

Kisah sejarah ‘ashabil fiil’ yakni tentera bergajah yang dipimpin oleh gubernur Yaman bernama Abrahah telah dinukilkan oleh Allah swt di dalam Al-quran menerusi surah ‘Al-fiil’.

Siapakah tentera bergajah itu?

Pada tahun kelahiran Rasulullah saw sebahagian besar wilayah selatan Semenanjung Arab dikuasai oleh Raja Najasyi, Kerajaan Habsyi yang berpusat di Afrika. Gubernur Yaman bernama Abrahah telah mendirikan sebuah gereja di San’aa yang cantik dan indah di kala itu dengan tujuan agar gereja itu dapat dijadikan tumpuan ibadah sebagai pengganti kepada tempat ibadah di Kaabah, Mekah.

Setelah gereja siap didirikan Abrahah mengadap Raja Najasyi dengan menyatakan hasratnya.

‘Ya, Tuanku. Telah aku dirikan sebuah gereja dan aku percaya belum lagi ada raja-raja sebelum Tuanku mendirikan gereja semegah ini. Namun hatiku belum puas sebelum orang-orang Arab yang selama ini berhaji ke Mekah aku palingkan haji mereka ke gereja Tuanku ini’.

Berita ini telah sampai ke pengetahuan orang-orang Arab membuatkan mereka marah dan gelisah. Marah kerana Abrahah merasa begitu iri terhadap kemasyhuran Kaabah dan gelisah kerana bimbang sesuatu tindakan yang tidak diingini akan dilakukan olehnya.

Dalam pada itu seorang Arab dari Bani Faqim bin ‘Adiy telah pergi ke gereja tersebut secara sembunyi-sembunyi dan membuang air besar di dalamnya. Setelah itu orang Arab ini pulang ke negerinya.

Kejadian ini disampaikan kepada Abrahah. Setelah disiasat dan diketahui bahawa seorang Arab telah melakukannya maka dengan marah dan rasa terhina beliau telah mengarahkan tenteranya agar segera bersiap sedia untuk menggempur Kaabah dan meruntuhkannya.

Dipendekkan cerita bahawa Abrarah ternyata adalah musuh Allah swt dari kalangan orang beragama Nasrani atau Kristian ke Mekah bersama tenteranya bertujuan untuk meruntuhkan Kaabah (rumah Allah) agar manusia ketika itu tidak lagi menunaikan haji di Mekah.

Allah swt telah membinasakan Abrahah dan tentera bergajahnya dengan mengutuskan burung-burung yang membawa batu-batu panas dan dilemparkan kepada musuh Allah.

Dan siapa pula tentera Al-Ahzaab

Al-Ahzaab adalah kata jama’ dari perkataan Hizb. Hizb bererti golongan, puak atau juga parti. Oleh yang demikian tentera Al-Ahzaab yang terdapat kisahnya di dalam Al-quran adalah merupakan penggabungan beberapa golongan-golongan yang memusuhi Allah dan Rasul saw sewaktu baginda berada di Madinah.

Beberapa golongan ini yang bergabong adalah terdiri daripada kaum Musyrikin dari Mekah, orang-orang Yahudi di yang tinggal di persekitan Madinah termasuk dari Bani Quraizhah yang bertetangga disebelah kota Madinah dan juga qabilah-qabilah Arab yang memusuhi dan enggan menerima Islam.

Mereka bergabong dengan tujuan untuk menghancurkan kekuatan dan masyarat Islam di Madinah agar Islam tidak lagi disebarluaskan ke serata muka bumi Allah ini.

Oleh yang demikian dengan sedikit penjelasan mengenai tentera bergajah pimpinan Abrahah dan juga tentera Al-Ahzaab ini saya kira dapatlah pembaca sekalian meneliti perbezaan di antara ‘musuh’ Parti Islam SeMalaysia atau PAS dengan ‘Tentera Bergajah’ dan ‘Tentera Al-Ahzaab’.

Saya berpandangan tentu sekali dari kalangan kaum keluarga ahli PAS sama ada dekat ataupun jauh pasti akan ada mereka yang menyertai parti ‘musuh’ mereka yang sama-sama beragama Islam, yang sama-sama juga menyembah Allah yang esa, yang mengucapkan dua kalimah syahadah, yang sujud menyembah kearah Baitullah dan juga mengerjakan haji ke Baitullah di Mekah.

Oleh itu meletakkan mereka sebagai ‘musuh’ serta mendoakan untuk dikalahkan sepertimana tentera Al-Ahzaab dan tentera bergajah telah dikalahkan oleh Allah swt adalah sama sekali keterlaluan, tidak wajar dan tidak bertepatan.

PAS boleh sahaja berdoa agar mereka menang di dalam PRU13 dan dapat mentadbir negara di pusat pentadbiran Putrajaya. Saya kira itu tidak salah di sisi agama Islam kerana mereka telah bekerja kuat dan bersungguh-sungguh dengan keikhlasan hati mereka yang Allah swt sahaja Maha Mengetahui keikhlasan mereka.

Tetapi, perkara yang saya sama sekali tidak bersetuju adalah intipati doa mereka yang menyamakan musuh mereka dari kalangan Barisan Nasional yang beragama Islam sama seperti Abrahah dan tentera bergajah mereka dan juga golongan tentera Al-Ahzaab yang terdiri dari kesemuanya musuh Allah swt dan Rasulullah saw adalah dari golongan orang-orang bukan Islam.

Ingatlah, secara tidak langsung mereka mungkin berdoa untuk kehancuran dan kekalahan ayah dan ibu atau anak-anak dan isteri mereka yang kebetulan merupakan ahli atau penyokong ‘musuh’ mereka seperti kehancuran dan kekalahan tentera bergajah dan tentera Al-Ahzaab.

Oleh yang demikian adalah lebih afdhal sekiranya semua umat Islam berdoa untuk kesatuan umat Muhammad Rasulullah saw agar bersatu dan tidak bercerai-berai. Masyarakat bukan Islam sentiasa tidak alpa bekerjasama diantara mereka saling bahu membahu demi menggalas hasrat mereka untuk menghancurkan Islam serta merosakkan aqidah umat Islam. Namun sayang sekali umat Islam saling bertelingkah sesama sendiri, saling caci mencaci, fitnah memfitnahi satu sama lain.

Siapa yang akan menguatkan Islam kalau tidak umat Islam sendiri dengan pertolongan Allah swt. Bersatulah wahai umat Islam negaraku.

Keratan dari Akhbar Harakah

Untitled

$
0
0
Sepatutnya kepimpinan PAS dan PKR (sebahagian besar kepimpinan PKR adalah Muslim) pasti telah memaklumi akan ungkapan ini ada penambahannya. Ini ungkapan yang tepat kerana kita hanya merancang dan Allah swt jua yang menentukannya.

INI KALI LAH, IN SYAA ALLAH


Oleh yang demikian, mulai hari ini kena ubah slogan tersebut kepada,

LAIN KALI LAH, IN SYAA ALLAH...


Hadiah

$
0
0
Seorang sahabat yang agak baru dikenali beberapa bulan lalu telah memberi satu hadiah. Nilai dari aspek material tidaklah begitu mahal. Akan tetapi nilai dari aspek kerohanian yang mencerminkan keihklasan pemberian amat tinggi nilainya.

Ini hadiahnya dari Tuan Haji Mohd Shariff bin Mohd Isa yang juga bekas seorang anggota tentera yang saya kenali tiga bulan lalu.

Buku bertajuk Perbendaharaan Al-Quran (2 jilid)
Sungguh pun perkenalan singkat selama tiga hari sewaktu bersama-sama menghadiri satu kursus pendek namun kemesraan terjalin seperti kami telah lama berkenalan.

Tuan Haji Mohd Shariff (berkupiah) dan saudara Kamal

Jangan Tak Fokus, PakMail!!!!!

$
0
0
Amat jarang sekali saya menonton filem di kaca tv. Namun beberapa hari yang lalu melalui saluran TV2 saya terpesona dengan sebuah filem berjudul The Last Samurai yang dibintangi oleh Tom Cruise dan beberapa pelakon Jepun yang lain.

Ini kali kedua saya menonton filem ini. Kali pertama, juga melalui kaca tv tetapi mungkin menerusi HBO Astro beberapa tahun yang lalu. Namun pada tontonan kedua ini saya memberikan sedikit tumpuan. Terutama pada setiap katabual yang diucapkan oleh pelakon.

Pada satu klip berupa naratif yang disampaikan oleh pelakon Tom Cruise yang saya muatnaik dibawah ini dari Youtube amat memberi kesan pada diri saya. Tom Cruise di dalam filem ini berkata,

'They are an intriguing people. From the moment they awake, they devote themselves to the perfection of whatever they pursue. I have never seen such discipline'.



Kata-kata ini menggambarkan bahawa masyarakat Jepun memang sedari dahulu mengutamakan kesempurnaan di dalam apa jua pekerjaan yang mereka lakukan. Kesempurnaan berasaskan tumpuan atau fokus terhadap apa yang mereka cita-citakan.

Mengapa saya mengatakan bahawa ungkapan ini memberi kesan pada diri saya. Kerana, ini kelemahan saya. Banyak pekerjaan yang saya rancang gagal saya sempurnakan. Saya tidak fokus di dalam mengerjakan satu-satu pekerjaan.

Bahkan, usaha yang kecil seperti menghafal surah-surah yang agak panjang di dalam Al-Quran juga GAGAL.

Kerana apa? 

Kerana saya tidak FOKUS.

Apatah lagi sewaktu usia kini yang sudah melebihi separuh abad amat sukar untuk mengingati dan menghafal ayat-ayat Al-Quran.

Saya amat cemburui akan beberapa sahabat yang dapat membaca dan menterjemah akan ayat-ayat yang dibaca sewaktu berbincang berkaitan agama dengan mudah dan lancar.

Namun demikian, saya kira ESOK MASIH ADA. Lakukan semampu yang boleh.

In syaa Allah akan dipermudahkan oleh Allah swt.

Reunion XRO

$
0
0
Pada 27hb Apr yang lalu satu pertemuan bekas anggota-anggota komunikasi TLDM telah diadakan di D'Village Resort, Air Keroh, Melaka.

Alhamdulillah, segala yang dirancang berjalan dengan baik dan teratur. Kehadiran seramai hampir 80 orang saya anggap memuaskan kerana memandangkan majlis ini diadakan ketika rakyat Malaysia juga sedang sibuk menghadapi pilihanraya umum (PRU13) yang diadakan pada minggu berikutnya.

Kebetulan juga majlis ini diadakan pada hari yang sama bertepatan dengan sambutan Hari TLDM ke-79.

Terima kasih saya ucapkan kepada mereka yang hadir serta sumbangan mereka berupa wang bagi menjayakan majlis ini .

Terima kasih juga saya ucapkan kepada saudara Ibrahim Awang (Koprak) yang telah menyumbang 10 hadiah 'hampers'.

Juga kepada saudara Badri Idris yang telah menyumbangkan 'banner'. Saudara Hanif Sulaiman yang bersusah payah membantu dalam menghubungi rakan-rakan. Saudara Rosman yang menyumbang 'idea' dalam mencipta logo untuk cenderahati iaitu 'key chain'.

Mudah-mudahan kita akan dapat mengadakan lagi perjumpaan seperti ini pada masa akan datang dengan bilangan kehadiran yang lebih banyak lagi. In syaa Allah.

Berikut saya catatkan nama-nama mereka yang hadir di dalam majlis 'Reunion XRO' kali ini.

1.   Haji Ramlan Sidek
2.   V Varatharaju
3.   Nordin Haji Abdul Hamid
4.   Haji Zainal Bin Dahan
5.   Ruslan Bin Akin
6.   Haji Abdul Rahim Bin Ahmad
7.   Alias Bin Abu Yam dan isteri
8.   Md Naim
9.   Rahmat Yunus
10. Haji Ismail Hayati
11. Kamsiah Bt Marjo
12. Azaman Bin Halim
13. Osman Bin Desa
14. Rozmi Bin Rahim
15. Azlan Jalli dan isteri
16. Rosman Bin Abdul Rahman
17. Salim Bin Hussain
18. Shaifuddin Bin Dollah
19. Mohamed Salleh Bin Abdullah
20. Tarmizi Bin Karim
21. Miah Bt Sani
22. Sasidaran a/l C. Raman
23. Roslan Chin
24. Norasmah Bt Noordin
25. Rashida Bt Othman
26. Ahmad Gunter
27. Rajendran a/l Patnasamy
28. Aziz Bin Dolmat
29. Jailani Bin Kamis
30. Azah Bt Othman
31. Nordin Bin Said
32. Zulkifli Bin Sarahudaz
33.Ghazali Bin Sulaiman
34. Mohd Adnan
35. 800925 Mat Said Bin Sunsang
36. Ibrahim Bin Awang dan isteri
37. Zaharudin Bin Arshad
38. Zuridah Bt Jamaludin
39. Norizat Bin Che Mat
40. 801563 Peter Tuan
41. 801806 Chong Ching Fatt
42. 802025 Robert Ong
43. 813377 Roslan Bin Ali
44. 808806 Hanif Bin Sulaiman
45. 806707 Badri Bin Idris
46. 807581 Zainudin
47. 807582 Imran
48. 812682 Hamzah Bin Musa
49. 812854 Azman
50. 814411 AH. Zayadi
51. 812148 Roslan Bin Ibrahim
52. 816068 Mohd Hider Bin Abu Samah
53. 813323 Z. Azami Bin Mokhtar
54. 807584 Harun Mat Nayan
55. 806501 Abdullah Bin Taib
56. 5500124 Siti Rohaya
57. 806904 Suhaimi  (Lat) dan isteri
58. 811182 Azharudin Bin Mohd Yassin
59. 802920 Basri serta isteri dan anak-anak
60. 806726 Mohd Salleh (Kachong)
61. 5500052 Raha Bt Idris
62. Bamir dan isteri
63. 806917 Che Ku Yahaya
64. 807590 Mohd Zaid Yusof
65. Haji Baharudin
66. Roslan
67. 807134 Azmi Bin Talib
68. 5500129 Jazliza Jais
69. 808626 Chandran
70. 806913 Ismail Bin Abdul Aziz
71. 806611 Salim Bin Jais
72. 8084XX Samad Bin Sapari


Kaunter Pendaftaran Kehadiran
Lt Kdr (B) Haji Ramlan Sidek sedang mendaftar
Tuan Haji Zainal Dahan sedang mendaftar

Tuan Haji Ismail Hayati sedang mendaftar
Lama tak jumpa no.........
Kaum ibu juga ambil kesempatan berbual-bual kosong
Hanif sedang jual minyak. Orang lama 800925 Encik Said Sunsang (berdiri tengah) dan Lt Kdr (B) Zaharudin
Peter Tuan sedang berceramah. Terbeliak biji mata Brahim Koprak.
Emcee Saudara Hanif Sulaiman

Tuan Haji Abdul Rahim sedang membaca doa





























































































Kalau ada sumur di ladang
Boleh kita menumpang mandi
Kalau ada umur yang panjang
Boleh kita berjumpa lagi

Pergi Tak Kembali Lagi

$
0
0
Jam 8.32 pagi semalam Mustafa (Bob) menelefon saya mengatakan bahawa beliau mendapat maklumat dari Lee Boon Chai bahawa rakan kami 806995 Ariffin Bin Mansor telah kembali ke rahmatullah.

Beberapa minit kemudian Bob menghantar sms kepada saya mengesahkan bahawa Ariffin benar-benar telah meninggal dunia akibat sakit jantung. Begitu juga seorang lagi rakan saya, Zainuddin memaklumkan kepada saya melalui sms bahawa Ariffin telah meninggal dunia.


Allahyarham Ariffin Bin Mansor

Video di atas sempat saya rakamkan sebagai perbualan terakhir bersama-sama Mustafa (Bob) ketika berkunjung menziarahi Allahyarham Ariffin di rumahnya di Kampong Pasir, Ulu Kelang, Selangor pada 14hb Apr,2013 yang lalu.

Sebelum itu pada 26hb Mei lalu, tidak sampai seminggu seorang sahabat yang juga rakan TLDM 806997 Noorpiah telah meninggal dunia juga akibat sakit jantung. Allahyarham Ariffin dan Allahyarham Noorpiah sama-sama bertugas sebagai seorang tukang masak di dalam TLDM. Mereka juga bersama-sama menjalani kursus asas rekrut dan kursus asas sebagai tukang masak.

Sesungguhnya daripada Allah kita datang kepada Allah jua kita semua akan kembali.

Mudah-mudahan Allah swt merahmati dan ampuni mereka berdua serta meletakkan mereka di kalangan orang-orang yang diredhaiNYA.

Amin.

Warna warni Kota Melaka di Malam Minggu

$
0
0
Saya tidak ingat bila kali terakhir saya berjalan-jalan pada waktu malam di kota Melaka. Pastinya agak begitu lama.

Namun satu malam beberapa bulan lalu saya berkesempatan menikmati keindahan dan kemeriahan suasana kota Melaka Bandar Bersejarah ini.

Jelas kota Melaka telah jauh berubah berbanding sedekad yang lalu. Berubah dari kelesuan malam kepada kesegaran malam. Dari 'mati' kepada 'hidup'nya malam dalam menikmati keseronokan sementara.



Beca Melaka

$
0
0
Saya masih ingat sewaktu kecil arwah ibu saya pernah beberapa kali membawa saya menaiki beca pulang ke rumah dari pasar Joo Chiat di Singapura. Jarak dari pasar ke rumah saya lebih kurang dua batu. Bayaran menaiki beca ketika itu mungkin tidak melebihi dua puluh sen.

Arwah bapa saudara saya yakni abang kepada ibu saya juga seorang penarik beca di Singapura. Beca digunakan secara meluas sebagai kenderaan alternatif bagi menampung keperluan khidmat pengangkutan awam selain bas dan teksi.

Lewat tahun 1968 saya sekeluarga berpindah ke Kuala Lumpur. Di Kuala Lumpur juga ketika itu terdapat perkhidmatan beca sebagai sumber pengangkutan awam. Kebanyakan penarik beca bertumpu di pasar-pasar besar seperti Pasar Chow Kit dan Pasar Besar di Kuala Lumpur (sekarang dikenali Central Market/Pasar Seni) untuk mendapatkan penumpang.

Namun hari ini beca tidak lagi dijadikan sebagai sumber perkhidmatan pengangkutan awam. Tetapi sebaliknya dijadikan sumber berpesiaran sebagai produk tarikan pelancong. Baik pelancong dari luar negeri mahupun pelancong tempatan.

Caj bagi khidmat ini pula amat berbaloi kalau tidak berpatutan. Paling rendah satu pusingan mengelilingi kawasan muzium Bandar Hilir ialah RM10.00. Satu pusingan hanya mengambil masa beberapa minit sahaja.

Uniknya beca-beca di Melaka dihiasi dengan pelbagai kreativiti pemilik. Ia juga dipasang dengan sistem muzik yang amat kuat. Pelbagai muzik dimainkan. Dari lagu-lagu tahun 60an (pop yeh-yeh), masakini sehingga kepada lagu-lagu berirama Hindi.

Penarik-penarik beca ini juga tidak seperti penarik beca zaman dahulu yang terdiri daripada orang-orang yang berumur, akan tetapi penarik beca di Melaka ini terdiri daripada kalangan anak-anak muda belia. Mungkinkah pendapatan penarik beca di Melaka sangat memuaskan.

Apa pun ianya suatu pengalaman yang amat menggembirakan apabila melihat gelagat operator penarik beca dan pelanggan-pelanggan mereka berinteraksi.


Pencetus

$
0
0
Hari Isnin yang lalu 3hb Jun, saya menemui 'pencetus'. Pencetus untuk saya terus menulis di dalam blog ini. Sebelum blog 'Catatan Pak Mail' ini saya adakan, saya pernah miliki sebuah blog dan menulis beberapa entri padanya. Namun blog tersebut terbiar begitu sahaja lantaran tiada 'roh'.

Namun setelah 'pencetus' ini mengetahui bahawa saya merupakan salah seorang bekas anak kapal KD Sri Perak lantas beliau mengesyorkan saya berkongsi pengalaman saya di dalam trajedi tersebut. Saya mengenali beliau melalui laman sosial facebook.


Alhamdulillah sehingga hari ini saya dapat terus menulis, berkongsi pengetahuan dan pengalaman yang saya lalui dan hadapi.

Terima kasih kepada saudara/saudari pembaca sekalian yang sudi melapangkan waktu membaca 'karya' saya yang tidak seperti ini.

Pertemuan saya dengan 'pencetus' itu adalah pertemuan kali kedua. Pertama kali saya menemui beliau sekitar pada bulan Sep, 2011.


Beliau ialah Kiew Din Choi yang menetap di utara tanah air. Beliau juga adalah bekas anggota TLDM. Namun beliau jauh lebih 'senior' dari saya. Kepada saudara Kiew 'Thank you, for your support'.



Kiew bersama 'Albert Einstein'. Maaf Kiew, ambil gambar tanpa keizinan.



Bilal Bin Rabah

Satu Petang di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Gombak

$
0
0



Latar belakang bacaan ayat quran adalah dari Surah At Taubah, ayat 119 - 122.

Oh Madu'ku'

$
0
0

Berpagi-pagi ini saya singgah di 'di rumah Pak Temuk' dan 'mendengar' Pak Temuk bercerita pasal nangka dan madu. Sebelum 'balik' Pak Temuk sempat berpesan agar jangan terpedaya membeli madu yang harganya 'menarik' yakni murah. Akibatnya bermengaum seperti Pak Temuk nanti kerana geram.

Jangan marah Pak Temuk ya....Bergurau di pagi hari Isnin ini.

Sebenarnya saya juga pernah 'terkena' seperti Pak Temuk. Terbeli madu yang telah dicampurkan dengan gula beberapa tahun dahulu. Agak sudah lama juga namun madu tersebut masih saya simpan. Saya tidak buang kerana sebagai penggemar madu saya punyai bahan cerita tentang madu untuk dikongsikan bersama teman dan rakan.

Gumpalan gula pasir jelas kelihatan

Ketulan kecil gula pasir yang terlekat pada dinding botol di bahagian dalam.

Madu Australia. Utamakan produk tempatan.
Oleh itu saya rasa ada baik juga mendengar pesanan dari orang lama agar tidak menyesal nanti.

Aaron

$
0
0


Dia bukan bintang filem. Dia juga bukan seorang penyanyi terkenal. Kebetulan namanya sama dengan seorang pelakon terkenal yang kacak dan hensem.

Dia juga tidak dilahirkan dari kalangan 'spesis' ternama. Mungkin kerana tiada nama dan darjat maka dia hidup terbiar. Tersisih. Mengemis pagi dan petang mengharapkan belas ehsan manusia yang bermurah hati.

Seringkali dimarahi. Diusir apatah lagi. Pernah juga disepak oleh manusia yang 'kejam' dan tidak bertimbangrasa.

Siapakah 'dia' itu.

"Dia' ialah Aaron, 'pengemiswarongan' yang dikutip dan diambil oleh anak saya suatu petang pada bulan April tahun lalu. Amat simpati anak saya terhadap 'si kecil' ini lalu dibawa pulang ke rumah. Lantas isteri saya berikan namanya Aaron.

Aaron ketika dipungut tahun lalu. Kotor dan berbau tidak enak.
Tetapi kini Aaron tidak lagi susah. Hidupnya agak senang. Makan dan minum disediakan. Badan tidak lagi kotor dan berbau yang tidak menyenangkan. Apabila sakit dihantar ke klinik.

Hidupnya juga kini didampingi ramai teman dan rakan. Berkejaran ke sana ke mari. Lincah amat sekali. Inilah Aaron di hari ini.


Cubaan, Cubaan, Cubaaaaan

$
0
0

Jam 4.05 pagi sebentar tadi saya terjaga dari tidur kerana mengalami gangguan membuang air kecil. Di dalam tempoh hampir sejam sebanyak 6 kali saya ke bilik air untuk membuang air kecil. Ada sedikit kesakitan sewaktu merasai gesaan untuk membuang air kecil. Tetapi tiada merasai sakit sewaktu membuang air kecil.

Gangguan membuang air kecil seperti ini telah agak lama saya alami. Saya telah membuat pemeriksaan di hospital namun doktor tidak menemui sesuatu kepastian tentang penyakit yang saya alami. Doktor sekadar memberi saya ubat anti-biotik, ubat lawas kencing dan ubat tahan sakit (pain killer) pada setiap kali saya mendapatkan rawatan.

Namun apabila saya mengenangkan kesukaran yang saya alami ini, ianya hanya sebahagian kecil sahaja dari apa yang orang lain tanggong dan alami akan penyakit-penyakit yang lebih kronik.

Saya telah melihat saudara mara terdekat atau orang lain terlantar di hospital kerana sakit kronik seperti kanser atau lain-lain. Sungguh sangat simpati melihat penderitaan mereka. Sukar melakukan segala aktibiti harian untuk menguruskan diri sendiri. Terpaksa dibantu oleh orang lain.

Mengenangkan kesakitan dan kesukaran orang lain alami, apalah sangat dengan penyakit yang saya hadapi ini. Namun tanpa disedari hati kecil ini kadang-kadang mengeluh juga.

Inilah manusia. Inilah diri saya ini. Baru dicuba dengan sedikit gangguan dan penderitaan seumpama ini sudah tidak dapat bersabar. Selama ini bertahun-tahun Allah swt memberi kesihatan. Sihat tubuh badan. Makan apa sahaja dengan penuh berselera. Namun tidak disyukuri.

Astagrfirullahal adzim. 
Viewing all 191 articles
Browse latest View live