Gambar ini di ambil pada 13hb Okt, 2012 |
Kami panggil dia 'Marble'. Selalunya isteri saya yang beri nama kepada kucing-kucing peliharaan kami. Saya tidak pasti Marble dari spesis apa. Anak saya Mohd Farid tahulah kerana beliau banyak membaca maklumat perihal kucing. Anak saya membeli Marble di 'pet shop' dengan harga RM800.00 tahun lalu.
Tubuh badan Marble lebih sasa berbanding kucing-kucing jantan yang lain. Pintu kandang tempat kami kurungnya di waktu malam pun dapat dibolosi.
Saya pernah melihat dengan menggunakan kekuatan badannya, Marble menerjah keluar menerusi pintu kandang. Beberapa kali juga kami sedar di pagi hari Marble 'hilang' dari kandangnya. Serata lorong tempat kami tinggal, kami mencari. Tidak bertemu. Namun beberapa hari kemudian Marble pulang rumah. Marble mencari 'awek'.
Beberapa jiran kata 'Marble' adalah 'taiko'. Banyak kucing jantan jalanan di'belasah'nya untuk merebutkan 'awek'. Pernah juga kami dapati muka dan badan Marble ada kesan luka.
Namun pada minggu kedua bulan Mac yang lalu Marble jatuh sakit. Suatu petang Ahad anak saya terlihat dengan tiba-tiba Marble jatuh sewaktu berjalan di hadapan rumah. Marble tidak mampu untuk bangun dan berdiri.
Kami menyangka sakit Marble tidak begitu serius. Kebetulan anak saya pada minggu itu sering pulang lewat dari kerja maka Marble tidak dapat dihantar ke klinik haiwan sehingga beberapa hari kemudian setelah keadaannya agak membimbangkan.
Anak saya terpaksa membantu menyuap makanan kepada Marble serta memberi minum. Kasihan melihat keadaan Marble.
Marble dihantar ke klinik ini. Hampir kesemua kucing peliharaan kami mendapat rawatan di klinik ini.
Marble dikehendaki masuk 'wad'. Setiap petang anak dan isteri saya 'menziarahi' Marble.
Pada hari ketiga isteri saya memberitahu Marble telah kelihatan lebih bertenaga dan mampu berdiri seketika. Sewaktu Marble terpandang anak dan isteri saya masuk ke klinik tersebut bingkas Marble berdiri dan 'menyapa' dengan mengiau-ngiau kepada anak dan isteri saya.
Doktor memberitahu Marble diserang virus di otak sehingga menyebabkan sarafnya gagal berfungsi dengan baik. Doktor juga sarankan agar Marble tinggal beberapa hari lagi di klinik untuk mendapatkan rawatan yang lebih rapi.
Namun sesuatu yang tidak disangka berlaku. Keesokkan harinya sewaktu anak saya datang menziarahi, doktor memaklumkan bahawa Marble telah mati. Kematian yang doktor juga tidak dapat menjangkakan. Kami redha dan faham kerana pada fizikalnya mungkin Marble kelihatan sudah semakin sembuh. Tetapi kita tidak tahu bagaimana keadaan organ dalaman badannya.
Oleh kerana kebarangkalian pihak klinik merasakan bertanggongjawab di atas kematian Marble sewaktu di dalam penjagaan maka pihak klinik hanya mengenakan bayaran rawatan sebanyak RM250.00 sahaja termasuk urusan menyempurnakan 'mayat' Marble.
Daripada Allah kita semua datang (baik insan mahu pun hayawan), dan kepadaNYA jua kita semua dikembalikan. Marble pergi pada 16hb Mac, 2013.
Namun begitu ada sesuatu yang menggembirakan kami. Marble sempat meninggalkan zuriatnya. 'Balu' Marble melahirkan enam ekor anak. Dua daripadanya telah mati beberapa hari setelah kelahiran.
Tiga daripada empat anak Marble sedang bermain. |